sumber : www.bharian.com.my; 24 jun 2009

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my




Dira bertuah kerana memiliki suami yang memahami kerjayanya sebagai seorang pelakon

NAMANYA mungkin belum kencang di bibir peminat sebagaimana mereka mengenali pelakon ternama sedia ada seperti Erra Fazira, Maya Karin, Vanidah Imran, Rita Rudaini mahupun Dynas Mokhtar. Apatah lagi, usia pembabitannya dalam lakonan pun baru setahun jagung. Begitu pun, Dira Abu Zahar sudah mula nampak cahaya berkilauan di hadapan langkahnya.

Status seorang isteri yang dipegangnya nyata bukan penghalang untuk dia memacu laju dalam arena lakonan televisyen. Satu demi satu projek drama bersiri mahupun telefilem dijayakan Dira. Tidak cukup dengan pembabitan di depan kamera, dia 'merayu' kepada produser dan pengarah untuk turut sama bekerja di balik tabir.


Jelas sekali Dira rindu pada dunia belakang tirai yang mula-mula menyaksikannya menyertai persada seni. Satu ketika dulu, pelakon ini ialah wartawan penyiaran untuk rancangan Beat TV sebelum muncul pula di layar kecil televisyen sebagai pengacara Fulus Mania dan Jom Ronda.

Atas alasan itu, dia diberikan ruang untuk mengisi kerusi penolong pengarah apabila pasukan produksi Media Hustler menerbitkan telefilem Ponti Anak Remaja. Dalam telefilem lakonan Liyana Jasmay, Lisa Surihani, Farish Aziz dan Ammar Alfian itu, Dira turut memegang peranan kecil.

Pada masa yang sama, wanita berusia 25 tahun ini menyedari, dia menceburkan diri dalam dunia lakonan sebagai seorang isteri. Namun begitu, sedikit pun dia tidak berasakan status dipegang itu bakal membantutkan kemajuan dirinya dalam dunia berkenaan. Sebaliknya, Dira mengaku berasa lebih selamat dengan status isteri serta ibu yang disandangnya sekarang.



"Saya seorang yang telus dan suka mengambil sikap berterus-terang dalam hal ini. Saya berkahwin dengan Ash daripada kumpulan Bau pada 2007 dan kini sudah pun mempunyai cahaya mata perempuan diberi nama Tengku Anggun Deandra. Itulah jawapan saya berikan kepada sesiapa yang ingin mengetahui status saya," katanya sambil tersenyum.

Baginya, tidak guna untuk seseorang artis bersikap hipokrit hanya untuk meraih populariti dan sokongan peminat.

"Saya amat percaya, seandainya kita memiliki bakat yang bagus, walau status apa pun yang dipegang, kita akan tetap mendapat peluang daripada produser serta pengarah. Bagi saya, peluang berlakon yang tidak putus-putus ini dianggap sebagai rezeki perkahwinan," katanya yang baru saja menamatkan penggambaran telefilem berjudul 100 Hari Jadi.

Menurut wanita berasal dari Melaka ini, dia tidak melihat sebarang perbezaan antara pelakon wanita yang sudah mendirikan rumah tangga dengan pelakon yang masih memegang status bujang. Bahkan, dia langsung tidak bersetuju sekiranya ada pihak yang mendakwa dengan menyembunyikan status perkahwinan, karier seseorang pelakon itu akan lebih terjamin.


"Jika peminat hendak menerima saya, biarlah mereka menerima Dira Abu Zahar sebagai seorang isteri dan ibu kepada seorang anak kecil. Biarlah mereka menerima kehadiran saya dalam bidang seni kerana kebolehan saya bukan kerana perkara lain," tegas Dira.

Walaupun dia tidak menganggap perkahwinan sebagai halangan untuk maju dalam lakonan, Dira tetap berasakan, sikap berkompromi bersama suami amat penting dalam memastikan langkah seseorang pelakon yang sudah berumah tangga tidak tersandung.

Katanya, janganlah hanya kerana mengejar impian dalam industri hiburan, rumah tangga pula berantakan.

"Saya amat bernasib baik kerana mempunyai seorang suami yang sangat memahami. Malah dia tidak putus-putus memberikan dorongan kepada saya untuk maju. Saya pula, perlulah menghargai pengorbanannya itu dengan memastikan adanya masa untuk dihabiskan bersama dia dan anak. Jika waktu tidak berapa mengizinkan saya untuk pulang ke rumah bertemu anak, ada kalanya saya membawanya sekali ke lokasi," cerita Dira.

Kencang berlakon di TV

SEJAK lebih setahun lalu, Dira mula menarik perhatian produser untuk menggunakan bakatnya bagi menjayakan drama atau telefilem terbitan mereka. Ketika fotografi bersama Hip diadakan, Dira baru saja pulang ke ibu kota setelah lebih seminggu berada di Sekinchan kerana menjalani penggambaran 100 Hari Jadi, telefilem arahan Woo Ming Jin.

Sebelum itu, dia menjadi perhatian peminat siri Rona Roni Makaroni, diikuti Merah Putih. Antara drama bersiri lain yang dibintangi pelakon ini ialah Dua Kali Mencintai Mu, Cinta Tanpa Suara dan Delima.

"Alhamdulillah, sejak mula berlakon lebih setahun lalu, tawaran untuk saya masih kencang. Walaupun ada ketikanya berasa kepenatan kerana tempoh penggambaran yang agak panjang, namun saya seronok melakukannya. Ia cukup bermakna kerana saya melakukan sesuatu yang menjadi minat saya.

"Buat ketika ini, rezeki untuk muncul di filem belum sampai. Saya sendiri masih terlalu baru. Biarlah saya membina tapak yang kukuh di drama dan telefilem dulu, sebelum melangkah ke layar lebar pula. Muncul di filem, bagi saya, amat besar tanggungjawabnya. Saya juga masih takut-takut jika ditawarkan berlakon filem," katanya.

Menyentuh soal lakonan, Dira memberitahu, banyak lagi watak yang ingin dipegangnya untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri terbabit. Antaranya, dia teringin sekali menjayakan watak wanita jalanan yang tidak memerlukannya bersolek tebal dan kelihatan cantik saja.

"Watak seperti penagih atau pengedar dadah, tinggal pula di kawasan lorong yang bersepah serta berperawakan agresif menjadi antara impian utama saya. Watak sebegitu tentu sekali banyak mencabar kredibiliti seseorang pelakon," katanya.

Selain lakonan, rupa-rupanya Dira juga penggemar sukan permotoran dan sering berkonvoi bersama-sama keluarga mahupun rakan dengan motosikal Harley Sportster miliknya. Dia dan abangnya, Idi Iskandar, turut menganjurkan majlis membabitkan penggemar motosikal besar.

Dedah wanita ini, minat pada motosikal besar timbul apabila Idi yang sememangnya cukup rapat dengannya itu turut memiliki kenderaan berkenaan. Lalu, tiga tahun lalu dia membeli motosikal Harley terbabit, yang menjadi harta pertamanya!

Sudah biasa berkonvoi ke utara dan selatan tanah air, Dira juga pernah merentas sempadan bersama motosikal sehingga ke Phuket, Thailand.

"Jika dihimpun, dalam keluarga saya saja, mungkin ada tujuh atau lapan motosikal berkuasa besar. Jadi, jika hendak berkonvoi, kami anak beranak pun sudah boleh melakukannya," kata anak bongsu daripada enam adik-beradik ini bersulam ketawa manja.

PROFIL: Dira Abu Zahar
Asal: Merlimau, Melaka
Umur: 25 tahun
Status: Berkahwin
Suami: Tengku Shafiz-Rullah atau Ash
Anak: Tengku Anggun Deandra (lahir 20 November 2007)
Profesion: Pelakon, Pengacara, Pengatur acara (Irah Arts & Events Management)
Drama/Telefilem: Rona Roni Makaroni, Merah Puteh, Dua Kali Mencintai Mu, Cinta Tanpa Suara, Delima, 100 Hari Jadi.

sumber : www.bharian.com.my; 23 jun 2009


Hubungan cinta Almy dan Fizz dikatakan sedang berantakan.

SEINGAT Zubir, usia percintaan aktres remaja, Almy Nadia Aminuddin Shah atau Almy Nadia, 23, dengan pasangannya, juga aktor yang sedang menempa nama, Fizz Fairuz sudah mencecah dua tahun. Berdasarkan temu bual bersama Almy yang disiarkan Harian Metro terbitan 2 Jun lalu, tidak ada sebarang kenyataannya yang menggambarkan hubungan cintanya bersama Fizz, dilanda badai.

"Pelakon juga seperti manusia lain, tidak mampu untuk menolak jodoh yang sudah ditentukan. Mungkin saya memilih pelakon sebagai pasangan bercinta kerana kami berada dalam dunia sendiri. Maksud saya, apabila selalu sibuk di lokasi kita sudah tidak pandang orang lain selain daripada orang yang dekat dengan kita.

"Lagipun ini soal hati dan perasaan, apabila selalu bertemu dan berasakan kita senang apabila berada di samping dia, selain wujud keserasian, timbullah perasaan cinta serta sayang. Apabila sudah memilih artis sebagai kekasih apa juga perkara yang timbul selepas itu saya perlu menghadapinya," kata Almy.

Mengamati kata-kata Almy media massa, jelas memperlihatkan hubungan cinta yang terjalin bersama Fizz semakin utuh, mungkin barangkali hanya maut yang mampu memisahkan kasih sayang antara mereka.

Ku sangka panas sampai ke petang berlarutan hingga ke malam, rupa-rupanya hujan ribut, petir sabung menyabung di tengah hari! Tersentak hati Zubir apabila ada seseorang memberitahu, Almy Nadia, Fizz Fairuz putus cinta! Hai... macam biskut, baru saja baca kenyataan kebahagiaan Almy di sisi Fizz, tak sampai seminggu dah putus cinta! Main-main ke?

“Zubir, tolonglah percaya. Kawan aku, orang industri juga. Dia memberitahu, Almy sekarang dah solo selepas putus kasih dengan Fizz. Almy siap minta kawan aku tu carikan dia boy friend baru sebagai pengganti! Kawan aku ni beriya-iya cerita, dia dah ada seseorang nak diperkenalkan kepada Almy, tapi tak tahulah, Almy suka atau tak? Tahulah, ini bukan zaman dulu-dulu, jodoh kita mak ayah yang carikan. Entah-entah Almy tak berkenan.

“Tapi, aku rasa mesti kawan aku tu cari lelaki yang benar-benar sepadan dengan Almy, tak naklah dia kecewa lagi kalau dapat lelaki tak senonoh. Pun begitu, sampai sekarang tak ada follow up sama ada Almy sudah dipertemukan dengan orang baru tu atau belum. Kawan aku tu pula, selepas pukul canang cerita ni, terus senyap,” kata teman Zubir tadi bersungguh-sungguh.

Mudah-mudahan apa yang disampaikan kepada Zubir ini hanya cerita rekaan semata-mata. Bagi Zubir, pandai-pandailah Almy dan Fizz melayari bahtera percintaan mereka. Jika ada badai atau batu karang, kenalah mengelak cepat-cepat! Namun, sekiranya kisah ini suatu kebenaran, Zubir harap antara mereka bawalah berbincang, mungkin masih ada ruang untuk diperbaiki, insya-Allah.

ZUBIR: Penyampai lelaki stesen radio popular bernafsu songsang, minat kaum sejenis, apa kes?

sumber : www.bharian.com.my; 20 jun 2009
Oleh Zubir Mohd Yunus
zubir@bharian.com.my

Nora bahagia bersama anaknya, Putera Rayqal.

Aktres jelita dan penyanyi indie mula berhubungan apabila tersiar desas-desus mereka keluar 'dating'

KE mana saja Zubir melepak seminggu dua ini, pasti ada 'mulut nakal' bertanyakan soalan seumpama ini: "Abang Zubir, betul ke Nora Danish dengan Noh Hujan tu? Serius ke dia orang, tapi apabila baca kenyataan mereka, masing-masing tak mengaku atau sengaja nak cover line?"

Noh mengambil jalan selamat apabila siang-siang lagi mengaku dia sudah ada teman wanita yang kini melanjutkan pelajaran di Australia. Paling tidak Noh sekadar memberitahu, Nora adalah antara rakan wanitanya yang senang didampingi kerana dia seorang kelakar, manis dan menyeronokkan. Dia mengatakan mula mengenali Nora sewaktu menghadiri ‘post party’ Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 pada 12 April lalu.

"Sejak pertemuan itu, kami menjadi kawan dan sering bertanya khabar melalui SMS dan sekali-sekala, keluar makan bersama,” kata Noh kepada Harian Metro terbitan 2 Jun lalu.

Teman wanita Noh lanjut pelajaran di Australia.

Justeru, peluang makan tengah hari bersama Nora di Restoran Ikan Sungai, milik aktres comel, Liyana Jasmay di Desa Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini, terus saja Zubir ‘memancing’ Nora dengan gosip terbaru itu, sama ada dia benar-benar serius bercinta dengan Noh atau sekadar kenalan biasa sesama rakan artis.

“Pertama kali bertemu Noh ialah di ‘post party’ ABPBH2008 di Genting Highlands. Kami sekadar bergambar bersama. Tak sempat bertukar nombor telefon pun. Justeru, gosip yang mendakwa kami keluar dating di pusat membeli-belah di Mutiara Damansara itu adalah rekaan semata-mata. Entah dari mana timbul cerita Noh menutup mulutnya dengan baju yang dipakai ketika berjalan dengan saja, saya pun tak tahu.

“Namun, saya akui pernah terserempak sekali dengan Noh di sebuah restoran di Petaling Jaya. Itupun kami ditemani rakan masing-masing. Sebaik tersebar gosip mengatakan kami keluar dating, bercinta, barulah kami mula berkawan rapat dan berhubungan menerusi telefon mempersoalkan gosip yang tiada kesahihannya itu. Setakat itu saja perhubungan kami, tiada yang istimewa.

“Saya harap tolong hentikan gosip tidak berasas ini. Kasihan teman wanita Noh apabila dia membaca cerita negatif seumpama ini. Saya tak mahu gara-gara gosip ini, hubungan mereka dilanda masalah,” kata Nora tenang sambil melemparkan senyuman.

Apa yang pasti, antara Nora dan Noh, mereka mengaku berhubungan antara satu sama lain, namun nak kata bercinta, jauh sekali. Bagi Zubir, keluar makan bersama, teman berteman ketika membeli belah, mahupun keluar menonton wayang sekalipun, itu belum menjadi ‘pasport’ untuk mengatakan pasangan berkenaan sedang dilamun asmara, yang pasti kalau perkara itu berlaku, ia bukan satu dosa kerana masing-masing berstatus solo.

Selepas kasih Nora bersama suami terlerai, dia kini hidup bahagia bersama anaknya, Putera Rayqal, malahan mengakui, hubungan bersama bekas suami semakin rapat kerana perlu mencurahkan kasih sayang tidak berbelah bagi kepada Rayqal. Bagi Zubir, sekalipun Nora bahagia di sisi anak dan bekas keluarga mentua, dia pasti berasa kesunyian apabila tidak ada seorang lelaki bergelar kekasih di dalam hidupnya.

“Abang Zubir, percayalah, saya masih solo sampai hari ini. Setakat kawan-kawan tu biasalah. Aku tak percaya cinta! (sambil merujuk kepada judul single Liyana Jasmay) Terus-terang, saya belum bersedia untuk bercinta lagi. Selepas pengalaman lalu, saya tidak akan mempercayai lelaki sewenang-wenangnya. Begitu juga wanita, saya tak percaya sepenuhnya kata-kata mereka,” kata Nora yang mungkin masih ‘trauma’ berikutan keruntuhan rumah tangganya yang dikatakan lebur gara-gara kemunculan orang ketiga.

Bagi Zubir, Nora seorang wanita yang sangat tabah mengharungi masa depannya. Dia masih aktif berlakon sekalipun ditatang bagai minyak yang penuh oleh bekas keluarga mentuanya. Apabila bersembang dengannya, tidak pernah terbit kata-kata cacian memburuk-buruk orang lain, itu yang Zubir tabik spring!

ZUBIR: Aktres cantik keluar belanja hari jadi sehingga RM52,000 di sebuah restoran mewah, duit sendiri ke atau sugar daddy yang 'menabur'!

Sumber: www.bharian.com.my; 23 Jun 2009

Oleh Zubir Mohd Yunus
zubir@bharian.com.my

KETIKA membaca tajuk muka depan akhbar Harian Metro, 2 Jun lalu - 'Pelakon lari balut langsir', Zubir ketawa terbahak-bahak kerana nasib baik sempat sambar langsir untuk membalut tubuh yang telanjang bulat itu. Kalau tak sempat, mungkin orang ingat jelmaan orang minyak atau toyol yang baru saja menonton filem komedi geli hati tahap dewa, Jangan Pandang Belakang Congkak!

Biarpun tubuh sekadar berbalut kain langsir, seorang pelakon lelaki drama mistik dan seram sanggup menyabung nyawa dengan menyeberangi balkoni di tingkat lima ke rumah jiran ketika melarikan diri daripada penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Ketika itu, dia cuba ditahan kerana berkhalwat dengan penolong penerbit rancangan itu di sebuah apartmen 10 tingkat, kira-kira jam 3 pagi.

Pelakon itu dipercayai sudah beberapa kali datang ke apartmen wanita terbabit yang juga tunangnya sejak beberapa bulan lalu. Malah, ketika ditahan wanita terbabit hanya memakai seluar pendek dan singlet yang menampakkan tubuhnya yang seksi, selain penemuan seluar dan baju pelakon lelaki berkenaan di biliknya.

Penahanan pelakon dan penolong penerbit itu disahkan Ketua Unit Tindakan Khas (UTK) Jais, Shahrom Maarop, yang mengakui pihaknya terpaksa menanti kira-kira 10 minit sebelum wanita terbabit membuka pintu.

Apabila tersebarnya berita panas itu, telefon bimbit Zubir juga menjadi panas apabila ramai kenalan termasuk rakan artis yang bertanyakan siapakah gerangan pelakon dan penolong penerbit itu. Apa nama drama lakonannya dan stesen mana yang menyiarkannya. Untuk tidak menghampakan permintaan rakan-rakan, Zubir cubalah membuat risikan.

Alangkah terkejutnya Zubir apabila sumber memberitahu, pelakon itu sebenarnya salah seorang pengacara sebuah rancangan mistik yang pernah disiarkan menerusi Astro Ria! Kalau begitu, memang Zubir kenal sangatlah muka si pelakon dan pengacara 'langsir' itu. Teman wanita yang dicekup bersamanya itu pun Zubir rasa kenal, tapi muka tak berapa cam!

"Zubir, apabila kisah mereka dicekup khalwat, aku dengar cerita pengacara rancangan mistik itu sudah malu mahu keluar rumah! Maklumlah kisahnya kena tangkap khalwat dapat masuk front page Harian Metro! Sekarang ni dia masih tak pergi kerja, malu beb! Aku rasa kalau dia kena pergi kerja juga, maklumlah profesional, kena habiskan rakaman, mesti dia pergi kerja tutup muka dengan kain langsir juga!," kata sumber tadi ketawa berdekah-dekah.

Pun begitu, menurut laporan Harian Metro, 5 Jun, pelakon dan penerbit siri mistik dan seram itu dikatakan berkeras menafikan mereka dicekup berkhalwat walaupun ditekan berulang kali menyebabkan majikan terpaksa mendapatkan pengesahan dari Jais. Bukan itu saja, gadis yang bertugas sebagai penolong penerbit berusia dalam lingkungan 20-an itu dikatakan membuat penafian sama apabila disoal siasat ahli keluarganya.

Hello! Kalau sudah kena tangkap basah yang disahkan oleh Jais, mengaku sajalah... jangan buang masa Jais! Berani buat berani tanggung! Nasihat Zubir kepada artis di luar sana, learn from the best!

ZUBIR: Kisah artis kena tangkap khalwat sebenarnya meloyakan dan memualkan, busuk bau longkang!

sumber : www.bharian.com.my, 24 Jun 2009
Oleh Zubir Mohd Yunus
zubir@bharian.com.my

Ashraf dan Sherry bijak menyembunyikan kisah sedih mereka.

Aktor dan aktres popular dikatakan terlerai kasih kira-kira sebulan lalu

MINGGU lalu Zubir bercerita mengenai percintaan dua pelakon yang sedang meningkat popular, Fizz Fairuz dan Almy Nadia yang dikatakan terhenti di pertengahan jalan selepas sekian lama menyemai benih asmara. Zubir tidak terkejut andai mereka menafikan gosip berkenaan dan memberi kenyataan sebaliknya kerana bagi Zubir, pokok tak akan bergoyang jika tiada angin yang bertiup! Jadi, renung-renungkanlah dan tunggu kesudahannya.

Kali ini Zubir mendapat perkhabaran yang hampir serupa. Kononnya aktor dan aktres yang sedang ligat di pentas lakonan, Ashraf Muslim dan kekasihnya, Sherry Ibrahim, kini berdepan masalah dalam perhubungan apabila ada desas-desus yang menyebut, antara mereka tiada lagi rasa cinta, kasih dan sayang yang dibenih sejak sekian lama, akhirnya lalang yang tumbuh melata.

Baru-baru ini juga Sherry ada membuat kenyataan, dia rasa bertuah apabila dipertemukan dengan Ashraf kerana pelakon kacak itu banyak membimbingnya sepanjang mereka menjalin hubungan cinta.

"Dalam hubungan percintaan kami, orang mungkin nampak Ashraf ini lembut dan tidak banyak cakap. Sementara saya pula dilihat lebih mendominasi. Padahal, apa yang berlaku sebaliknya. Ashraf sangat tegas dan tahu apa yang dia mahukan.

"Kadang-kadang apabila ada masalah timbul dia akan bercakap sekali saja, tetapi sudah cukup untuk membuatkan saya faham, sekali gus mengelak perselisihan faham yang timbul berpanjangan," kata Sherry kepada Harian Metro, 2 Jun lalu.

Itu temu bual yang dibuat bersama Sherry ketika dia menyertai rombongan Karnival Jomheboh TV3 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak, baru-baru ini. Pun begitu, ketika Zubir bersama beberapa teman sedang melepak di sebuah pusat karaoke baru-baru ini, Zubir dibisikkan dengan perkhabaran sebaliknya. Seorang sumber memberitahu, Ashraf dan Sherry baru saja putus cinta kira-kira sebulan lalu!

Zubir tak pasti apa punca keretakan hubungan cinta itu, namun menurut sumber, api cemburu dikatakan antara faktor perbalahan antara mereka apabila ada insan ketiga yang wujud di celah kebahagiaan yang sedang dibina. Sejauh mana kesahihannya, hanya mereka berdua saja yang tahu!

Tambah sumber yang sama, barubaru ini Ashraf ada meminta cuti dari produksi drama bersiri yang sedang dibintanginya.

"Ashraf minta cuti berlakon, rasanya seminggu. Khabarnya dia nak balik kampung memberitahu orang tuanya mengenai status dirinya dan Sherry yang kini hanya tinggal kenangan cinta luka. Maklum sajalah, selama ini percintaan mereka direstui keluarga kedua-dua belah pihak.

"Jadi, mungkin Ashraf rasa bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada keluarganya, antara dia dan Sherry kini sudah tidak ada apa-apa lagi hubungan," kata sumber yang sama.

Zubir dimaklumkan, adalah dalam dua, tiga minggu yang lalu, Ashraf meminta cuti berkenaan. Justeru, memang baru jugalah seandainya benar Ashraf dan Sherry sah putus cinta! Pun begitu, segala kepastian dan kemungkinan, hanya Ashraf dan Sherry mempunyai jawapan mutlak.

Namun, sekiranya mereka berdolak dalik menafikan gosip berkenaan, sekali lagi Zubir ingin tekankan, pokok tak akan bergoyang jika tiada angin yang bertiup!

Pada masa sama, Zubir turut mendengar berita yang tak berapa menarik mengenai Ashraf di lokasi penggambarannya. Entah betul atau tidak, Zubir diberitahu, Ashraf menerusi pengurus peribadinya, memberi syarat kepada sebuah produksi drama jika berminat untuk mengambilnya berlakon, Ashraf tidak boleh diganggu pada hari dan waktu tertentu kerana dia akan terbabit dengan aktiviti bola keranjang. Wah! Tahap Brad Pitt ke kau! Atau mungkin sang manager yang lebih sudu daripada kuah!

Seandainya perkhabaran yang Zubir dengar ini satu kesahihan yang benar belaka, Zubir harap Ashraf janganlah mengamalkan sikap begitu. Kalau syarat itu daripada manager, perbetulkan dia. Jangan kerana perangai geli, orang buat muka panjang dengan kita, renung-renungkanlah...

ZUBIR: Sering bertemu dengan pe ngurus artis yang bersikap gila kuasa, kadang-kadang permintaan yang dibuat untuk kepentingan peribadi!

sumber: www.bharian.com.my; 20 jun 2009

KAK Pora tabik spring dengan mama vogue, Erra Fazira yang mengotakan janjinya petang Sabtu minggu lalu apabila dia ditemani suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, muncul buat kali pertama bersama puteri sulung, Engku Aleesya sempena majlis aqiqah dan cukur jambul bayi mereka di Restoran Puteri, Sungai Penchala, Selangor.

Sebelum ini, Erra dan suami tidak membenarkan wajah anak mereka dirakamkan pihak media massa pada hari kelahirannya atas alasan mahu berlaku adil kepada rakan wartawan lain yang menyokong kerjaya seni Erra selama ini. Namun, Erra tidaklah dan Engku Emran tidaklah merahsiakan berita kelahiran bayi perempuan seberat 4.04 kilogram di Hospital Pakar Damansara pada 30 Mac lalu. Bayi comel itu dinamakan Engku Aleesya, nama yang pilihan Erra sendiri, bermaksud dilindungi. Agaknya apa pula maksud nama Kak Pora? Sampai sekarang pun Kak Pora tak tahu maksud nama Pora.

Teman Kak Pora yang berkesempatan menghadiri majlis berkenaan, memberitahu meriah sungguh suasana pada petang itu dengan kehadiran ramai kenalan rapat Erra dan Emran. Selain teman artis, saudara mara dan tidak ketinggalan rakan wartawan yang selama ini memang ternanti-nantikan saat Erra dan suaminya menunjukkan wajah Aleesya kepada mereka.

Pihak wartawan yang datang pula meliputi rakan dari media cetak dan media elektronik. Sebaik saja majlis cukur jambul Aleesya bermula, maka berpusu-pusu wartawan dan jurugambar menyerbu Erra dan Emran untuk menyaksikan sendiri majlis bersejarah itu, maklumlah bukan anak artis biasa, sebaliknya anak bekas primadona!

Selang beberapa hari selepas majlis itu, Kak Pora membawa anak saudara yang baru berusia belasan tahun menghadiri sesi uji bakat sebuah program remaja di stesen TV popular di ibu kota. Sementara menunggu giliran anak Kak Pora dipanggil, Kak Pora ambil peluang melepak di taman hijau stesen TV itu. Tak lama kemudian, Kak Pora bertembung krew program hiburan stesen TV itu. Dengan selamba saja Kak Pora gatal buka mulut, tanya tak pergikah majlis cukur jambul anak Erra hari tu? Tak ada pun dalam berita hiburan TV itu? Nak tahu apa jawapan krew berkenaan: “Kita orang memang dapat arahan daripada pihak atasan, tak perlu cover majlis Erra. Entahlah, mungkin ada orang yang kecil hati kot. Kita orang lepaklah, tak payahlah pergi.”

Terkejut Kak Pora mendengar jawapan krew berkenaan. Rupa-rupanya dalam keghairahan pihak media massa memberi liputan kepada wajah eksklusif Engku Aleesya, masih ada lagi program hiburan popular yang tak kuasa melayan Erra. Mungkin ada kisah lama yang menjadikan produksi program hiburan itu jauh hati dengan Erra. Kenapa? Kak Pora pun tak pasti...

KAK PORA: Teringin nak ikut delegasi unit Hip dan B*Pop ke Singapura minggu depan, tapi malang pasport dah hilang!

Sumber: www.bharian.com.my; 21 Jun 2009




Aktres remaja lebih senang mentafsir hubungan dengan aktor kacak sebagai kenalan mesra

SEBELUM Zubir bergosip minggu ini, Zubir ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Bapa yang kebetulan jatuh hari ini kepada semua insan seni dan pembaca setia B*Pop yang layak kita panggil ayah! Sementara hayat ayah kita masih panjang, hormati dan kenanglah jasa mereka mendewasakan kita, tapi sebaiknya setiap hari kita mengingati ayah, tak perlu tunggu Hari Bapa baru terhegeh-hegeh nak belanja ayah makan!

Di ruangan ini pada 17 Mei lalu, Zubir ada menulis artikel - ‘Farid Kamil, Diana Danielle bercinta?’ apabila terdengar desas-desus dua artis remaja itu sedang menyemai cinta, tapi secara rahsia. Tapi, mulut tempayan boleh kita tutup, mulut manusia tak berhenti bercakap apabila ada sumber terdengar pengakuan Diana pada seseorang, dia sememangnya sedang bercinta dengan Farid selepas putus kasih dengan pengarah hebat, Syamsul Yusof.

"Abang Zubir, betul, sekarang ni Farid dengan Diana, bukan Lisa (Surihani)! Itulah ramai orang tak tahu hal ini. Memang Farid sering digosipkan dengan Lisa, tapi semua itu untuk tujuan komersial semata-mata demi kerjaya lakonan mereka. Tapi, dia orang tak ada apa-apapun, hanya kawan baik,” cerita seorang sumber kepada Zubir sebelum ini.

Ketika Zubir menulis artikel berkenaan, Diana masih mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mulai 19 Mac lalu di Kem Princess Haliza, Sepang, justeru Zubir tidak berkesempatan mendapatkan sebarang penjelasan daripada Diana sendiri. Namun, sejak 8 Jun lalu, Diana sudah pun kembali ke pangkuan keluarganya, sekali gus menjalani rutin hariannya sebagai artis.

Petang Khamis lalu Diana menghubungi Zubir selepas dia mendapat kiriman SMS menyatakan Zubir ingin bertanya sesuatu kepadanya.

“Sekarang apa Abang Zubir nak tahu, kalau pasal Farid, memang Diana mengaku, ketika ini kami berkawan baik. Secara jujur, sedikit sebanyak gosip yang abang siarkan ketika Diana masih di PLKN itu, ada kebenarannya. Diana memang dah lama kenal Farid, lagipun kami pernah berlakon filem sama, Evolusi KL Drift, tapi selepas Diana putus cinta dengan Syamsul (Yusof), barulah kami mula berhubungan.

“Kami juga sama-sama terbabit dalam siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 sekitar Februari dan Mac lalu, jadi dari situ kami sudah mula mengenali rapat antara satu sama lain. Nasib baik ketika itu tidak ramai yang tahu antara Diana dan Farid. Sehinggalah pada malam kemuncak ABPBH 2008, seseorang sudah terdengar perbualan Diana, Diana mengaku Farid adalah kawan baik Diana, itu saja abang,” kata Diana yang tidak berselindung hubungannya bersama Farid.

Habis tu memang betullah antara Diana dan Farid ketika ini sedang hangat bercinta?

“Terus-terang Diana beritahu abang, selepas Diana tamat latihan PLKN, baru kami bersedia berkawan lebih rapat. Rasanya istilah bercinta tu tak sesuai digunakan lagi, hubungan kami masih terlalu mentah.

“Lagipun selepas ini Diana akan melanjutkan pelajaran, Farid pula sibuk dengan jadual lakonan dan cita-citanya membina nama sebagai pengarah. Justeru, kami lebih selesa sebagai kawan baik saja, Diana dah serik nak bercinta macam dulu-dulu, serius!,” kata Diana berterus-terang.

Pun begitu, kata-kata Diana itu lebih kurang sama ketika Zubir menemubualnya semasa dia masih hangat bercinta dengan Syamsul dulu, mereka lebih selesa sebagai kawan baik, hujung-hujung baru terbongkar rahsia, rupa-rupanya bercinta. Tapi, mungkin juga Diana sudah serik untuk menjalin hubungan serius, sakitnya apabila putus cinta, memang tak terungkap dengan kata-kata!

Mulai 9 Julai depan, Diana akan melanjutkan pengajian di Universiti Nottingham cawangan Malaysia di Semenyih dalam jurusan biosains.

Maklumat terbaru yang Zubir peroleh, rupa-rupanya Farid memang sudah lama meminati Diana iaitu ketika aktres jelita itu masih menjalin hubungan cinta dengan Syamsul, justeru apabila Diana dan Syamsul putus cinta, barulah dia berani mendekati Diana. Zubir hanya berdoa yang terbaik buat Diana dan Farid. Harap boleh dengar apa pula penjelasan Farid selepas ini.

ZUBIR: Pasangan artis popular mengaku bercinta, padahal si aktres sudah meninggalkan kekasihnya dan kini menjalin hubungan dengan VIP tampan.

Sumber: www.bharian.com.my; 24 Jun 2009

Oleh Normah Becok


NiNe, Amylea dan Tomok.

BARU-baru ini, ketika Cik Normah sedang tekun melakukan terapi membeli belah di Pavilion, tiba-tiba Cik Normah ditegur rakan lama dari Utara yang sudah lama tak berjumpa. Ketika itu, Cik Normah sedang ralit membelek-belek tas tangan di sebuah butik berjenama. Perbualan kami akhirnya bersambung hingga ke sesi makan tengah hari.

Macam biasa, tak rugi Cik Normah belanja dia makan kerana tidak semena-mena terpacul cerita yang boleh dikongsi di dalam ruangan ini. Cerita yang diberitahunya berkait dengan seorang peserta One In A Million musim ketiga (OIAM 3) yang turut mempunyai sebuah band.

Senang cerita, Cik Normah sebut nama kumpulan itu terang-terang sajalah. Ia merujuk kepada kumpulan Coco yang menjadi artis naungan syarikat FMC Music.


Patut pun, kawan Cik Normah dapat hidu cerita itu. Nak dijadikan cerita, vokalis kumpulan itu iaitu Nine pun berasal dari Utara. Menurut kawan Cik Normah lagi, semangat Nine bersama kumpulannya untuk terus memperjuangkan jalur muzik mereka tidak pernah luntur sama sekali. Coco masih wujud, tambahan pula kontrak mereka dengan syarikat rakaman itu sampai 2010.


Ketika ini, ada tiga lagu yang dirakamkan kumpulan itu. Nine turut berduet dengan rakan seperjuangannya di OIAM 3 iaitu Amylea menyanyikan lagu berjudul Jangan Datang. Lagu itu antara dua buah lagu yang dicipta sendiri oleh Nine. Selain lagu Jangan Datang, lagu kedua menggunakan judul Berdiri.

Anggota Coco, AG yang turut membantu bermain instrumen muzik dengan kumpulan Hujan masih setia dengan kumpulan Coco. Bahkan, AG juga mencipta sebuah lagu untuk kumpulan Coco. Konsep lagu kali ini masih berentak rock seperti yang pernah dirakamkan di dalam album terdahulu.

Kalau jadi, tambah kawan Cik Normah itu, single yang dibikin itu akan dikeluarkan paling cepat pada bulan depan. Biasalah, sekarang pun, ramai artis yang mengeluarkan single satu persatu sebelum tampil dengan album penuh.

Di kesempatan ini, Cik Normah nak ucapkan selamat maju jaya dekat Coco. Lagi satu, buat Nine bila lagi nak lamar kekasih hati yang cukup dikenali di kalangan rakan wartawan itu. Jangan tunggu lama-lama, takut dikebas orang pula lepas ini.

sumber: www.bharian.com.my; 24 Jun 2009

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


Hafiz

Hafiz akui tidak cemburu populariti yang diraih Aril dan Akim

SAMA seperti bekas juara Akademi Fantasia yang lain, namanya dijulang sebagai pemenang berdasarkan persembahannya yang sentiasa konsisten dari minggu ke minggu seiring dengan bakat semula jadi yang dimilikinya.

Jujur dalam membuat persembahan seperti mana komen yang pernah dikeluarkan pengkritik tetap Adlin Aman Ramlie ditambah wajah comel yang menjadi daya pemikat membuatkan penggemar program realiti ini sepakat memilih Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz sebagai juara yang ketujuh selepas Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila dan Stacy.


Namun sebaik saja dinobatkan sebagai pemenang, aura pemenang dari Kuching, Sarawak ini tidak sehebat dua juara sebelumnya. Malah jika hendak dibandingkan dengan Mawi, ibarat jauh panggang dari api.

Tidak banyak cerita yang kita dengar mengenai Hafiz berbanding pemenang tempat kedua dan ketiga program itu iaitu Aril dan Hafiz yang khabarnya terbang ke Indonesia kerana mendapat tawaran dari syarikat produksi di sana ketika masih di dalam sangkar emas AF lagi.

Hip mendasari hati jejaka berambut kerinting ini untuk mengetahui apakah puncanya keadaan seperti ini berlaku dan apakah perancangannya bagi memastikan kariernya terus berjalan lancar dan mampu menempatkan dirinya sebaris dengan artis popular lain.

Hafiz

Hip: Bagaimana kehidupan Hafiz sebaik bergelar juara Akademi Fantasia?

Hafiz:
Memang berubah berbanding sewaktu Hafiz masih bergelar pelajar dulu. Kalau dulu pergi ke mana-mana tak ada siapa kenal, sekarang ini ada jugalah yang menegur (ketawa). Cuma yang ketara sekarang ini adalah jadual Hafiz memang padat kerana banyak mengikuti program yang diatur oleh pihak pengurusan iaitu Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB). Contohnya, sesi bertemu peminat yang selama ini banyak memberikan sokongan moral dan material semata-mata untuk mengundi Hafiz.

Hip: Tapi kalau Hafiz perasan, walaupun bergelar juara tapi nama Hafiz tidak seperti bekas pemenang terdahulu. Seperti kurang auranya, komen sikit.

Hafiz:
Ya, Hafiz sedar perkara itu. Mungkin sebab Hafiz belum ada produk yang ingin diketengahkan jadi nama Hafiz agak kurang diingati dan tidak terlalu diperkatakan seperti pemenang AF lain. Sekarang ini Hafiz masih dalam peringkat pembikinan album sulung dan bila album ini sudah berada di pasaran, mungkin nama Hafiz akan naik dan orang kembali ingat yang Hafiz adalah juara AF7. Buat masa ini lagu Masih versi rakaman studio sudah pun diputarkan di radio dan Hafiz harap lagu itu akan terus diminati dan menjadi pengubat kerinduan sementara menantikan album solo Hafiz siap kelak. Bila sudah ada produk, barulah Hafiz akan lebih bergiat aktif untuk mempromosikan album itu.

Hip: Mungkin sebab Hafiz tak ada kontroversi maka nama Hafiz tidak sehangat bekas juara lain?

Hafiz:
(Ketawa) Agaknyalah. Hafiz rasa Hafiz lebih selesa dengan cara seperti ini. Lagipun Hafiz orang baru dalam bidang ini, jadi kalau boleh Hafiz tak mahu ada cerita kurang baik mengenai Hafiz yang boleh mencetuskan kontroversi. Biarlah orang mengenali Hafiz dengan cerita berkaitan karier nyanyian. Hafiz tak mahu menyusahkan hati mak dan bapa Hafiz dengan cerita yang bukan-bukan. Bukan mudah sebenarnya untuk mereka lepaskan Hafiz tinggal di Kuala Lumpur dengan usia yang masih muda seperti ini. Terlalu banyak yang mereka risaukan dan sebab itulah Hafiz tinggal dengan makcik supaya mereka tak susah hati.

Hip: Hafiz tak cemburu melihat Aril dan Akim lebih menyerlah dan populariti mereka lebih meluas berbanding Hafiz.

Hafiz:
Oh! Tidak. Hafiz tak pernah cemburu dengan kejayaan mereka. Bagi Hafiz, itu sudah rezeki mereka dan Hafiz tumpang bangga dengan apa yang mereka capai. Sejak di dalam AF lagi kami sudah dididik untuk sentiasa menyokong kejayaan kawan-kawan yang lain. Insya-Allah mungkin selepas ini rezeki Hafiz siapa yang tahu. Hafiz sentiasa bersikap positif dalam hal seperti ini.

Hip: Sebelum ini pihak media mendakwa Hafiz mempunyai masalah komunikasi. Sebagai artis sepatutnya perkara itu tidak boleh berlaku. Sekarang bagaimana?

Hafiz:
Memang Hafiz akui masa mula-mula menyertai AF dulu Hafiz rasa janggal kerana ingin pertama kali Hafiz berjauhan dengan keluarga ditambah dengan sikap pemalu membuatkan Hafiz memang sukar untuk berkomunikasi. Pun begitu, Hafiz sedar yang Hafiz perlu perbaiki masalah itu jika Hafiz ingin berjaya dalam bidang ini. Buat masa ini, Hafiz mempraktikkan apa yang diajar sewaktu di akademi dulu. Kalau Hafiz berpeluang membuat persembahan dengan artis yang lebih senior, Hafiz juga akan meminta tips daripada mereka. Hafiz juga ada bertanyakan hal ini pada Aznil dan dia memang banyak membantu.

Hip: Sejak bertukar pengurusan, dari segi undangan show bagaimana?

Hafiz:
Alhamdulillah, setakat ini banyaklah undangan untuk membuat persembahan Hafiz jayakan. Malah kerap jugalah Hafiz ke Kuching kerana banyak jemputan dari sana. Walaupun penat tapi Hafiz seronok terutama apabila dapat bertemu peminat di serata negeri.

Utusan Malaysia Online - Hiburan

Posted by mrpezzal | 5:45 PM | 0 comments »

Utusan Malaysia Online - Hiburan

Shared via AddThis